Peringatan Mengenai Cubaan Meruntuhkan Perpaduan Umat Islam

|
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diingatkan mengenai percubaan pihak tertentu kini yang menggunakan pelbagai cara untuk merapuhkan perpaduan dan meruntuhkan kejayaan yang dinikmati selama ini.

Dalam khutbah Jumaat di Masjid Negara dan beberapa masjid lain di sekitar ibu negara hari ini, umat Islam diminta supaya berganding bahu dan menggagalkan usaha jahat itu.

Di Masjid Negara, khatib Wan Aziz Wan Omar berkata, pihak itu juga pernah mempertikai hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin beragama Islam yang dikaburi dengan keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

"Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah. Pelbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah.

"Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan pelbagai cara
," katanya.

Wan Aziz berkata, bertopengkan asas kononnya menuntut keadilan dan ketelusan, mereka ini menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda jahat tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa Malaysia tidak lagi aman.

"Mimbar ingin menegaskan sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah mengkhianati agama Allah, terpesong dengan ajaran Rasulullah, melakukan dosa besar dan menzalimi umat Islam dan keharmonian negara," katanya.

Khutbah itu dipercayai merujuk kepada perhimpunan haram yang dijadualkan esok, anjuran satu kumpulan pengacau yang berdegil mahu mengadakannya walaupun polis memberi amaran akan bertindak tegas.
 
Wan aziz berkata, umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara tidak seharusnya bersama golongan itu serta tidak terpengaruh dengan tipu daya dan pujuk rayu mereka.

Beliau juga berkata, perpecahan dan perbalahan yang berlaku menyebabkan maruah umat Islam tergadai dan menjadi hina, sedangkan selama ini umat Islam di Malaysia dijadikan contoh perpaduan dan kejayaan oleh banyak negara lain.

Khatib berkata, sekiranya perpaduan dan keamanan negara hancur, kuasa asing akan campur tangan dan mengambil kesempatan.

 "Sedarlah bahawa untuk membangunkan semula ekonomi dan negara mungkin memakan masa berpuluh-puluh tahun lamanya," katanya.

Wan Aziz berkata, berdasarkan syariah, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Beliau berkata, perpaduan, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati hari ini tidak datang bergolek, bahkan adalah hasil daripada kebijaksanaan pasukan kepimpinan negara dan kesetiaan rakyat kepada pemerintah.

Beliau juga meminta umat Islam menjunjung titah khas Yang di-Pertuan Agong supaya tidak terikut-ikut dengan amalan di negara luar.Sumber dari BERNAMA




**Umat Islam di negara Malaysia yang tercinta ini TOLONGLAH SEGERA BANGKIT DAN SEDAR!!!**


No comments: